Protected by Copyscape Online Plagiarism Checker

Monday, August 12, 2013

Cerita Yang Tak Sempurna

Cerita bermula dengan perkenalan yang tidak terduga, tidak dirancang. Ia berlaku secara spontan antara sengaja dengan tidak. Ketika itu aku kesunyian inginkan teman dan dia dalam kesedihan juga perlukan teman. Lalu sejarah tercipta. Perkenalan yang tidak dirancang menjadi semakin akrab. Kami banyak berkongsi rasa. Pertemuan pertama kami berlangsung juga secara tiba-tiba. Aku dikejutkan dengan berita dia akan pergi jauh, lalu aku membuat keputusan untuk bersua muka. Ia berjalan dengan baik walau hanya seketika.

Perhubungan kami diuji saat terpaksa terpisah jauh. Namun ia bukannya menghalang malah semakin mengeratkan. Aku menjadi peneman dia meluahkan suka duka di tempat orang yang asing baginya. Aku menjadi peneman sejati kerana terbit rasa bahagia dalam jiwa. Bahagia yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Malah aku berani nyatakan aku sudah jatuh hati padanya namun aku sukar untuk luahkan kerana bagi aku lebih baik diluahkan secara bersemuka. Namun takdir mengatasi segalanya pabila cinta itu terpatri jua walau dalam bentuk pesanan ringkas. Ianya mengungkapkan penyatuan dua hati. Aku rasa akulah insan paling bahagia saat itu. Sungguh aku tak sangka.


Hidup aku berubah selepas itu. Tiada lagi luahan-luahan kecewa di mukabuku. Semuanya seakan berbunga disirami pelangi. Kawan-kawan ramai yang mendoakan kebahagiaan kami. Sungguh aku bersyukur kerana Yang Maha Kuasa memberikan sedikit kebahagiaan kepadaku setelah kian lama menanti. Walaupun terkadang hubungan kami dilanda badai, namun aku tetap sabar menghadapi. Aku anggap semuanya ujian untuk menguji keutuhan cinta kami. Alhamdulillah tidak pernah kami bermasam muka, mungkin ada tapi tidak lama. Walau dia kerap merajuk namun bagiku itu semua lumrah kaum hawa. Aku sabar tempuhi segalanya kerana bagiku dia suri hidupku, bakal isteri yang akan menemaniku sepanjang hayat dikandung badan.

Namun aku tidak sedar bahawa kita hanya mampu merancang. Tanpa izin-Nya, segalanya takkan berlaku. Hubungan yang aku cuba pertahankan selama ini akhirnya runtuh jua. Skrip yang sama berulang untuk kali yang ke tiga. Akhirnya cerita ini menemui titik nokhtah tanpa relaku. Ianya berlaku sekelip mata, malah sampai hari ini aku masih tidak percaya ia berlaku. Jangan ditanya perihal kecewa kerana aku tiada jawapan untuk itu. Perit memang perit. Pedih sangat pedih. Melihat mahligai yang dibina perlahan-lahan runtuh dimakan kecewa. 

Mujurlah disaat aku hampir rebah tak berdaya, aku disambut oleh keluarga dan teman-teman. Sungguh aku terharu dengan mereka. Semangat dan dorongan mereka memberi aku nafas baru. Seakan mati hidup semula aku cuba bangun walaupun perlahan-lahan. Biarpun aku terpaksa merangkak, akan kucuba untuk bangun semula. Aku redha dengan segala takdir dari-Nya kerana Dia Maha Mengetahui. Dialah yang menentukan segalanya. Aku yakin perlu yakin dengan perancangan-Nya kerana Dialah sebaik-baik perancang...

Untuk dia, terima kasih atas segala kenangan manis kita bersama. Segalanya pasti akan tersemat sebagai kenangan terindah dalam hidup ini....

Telahku lalui telahku lukai
Dibuai mimpi-mimpi
Mengasyikkan inderaku
Semua yang sempurna hanyalah dimata
Tangisanmu berbisik ku sendiri

Izinkan diriku lenyapkan segala
Namun ku tak terdaya 
melupakan segalanya
Kini ku sendiri hilang segala cinta
Sebuah realiti bernokhtah di sini...

Hazama - Nokhtah



~ mengapa tangan kau lepaskan setelah hatiku kau tawan? ~

2 comments:

Cik Puan iLa said...

Alhamdulillah..Semoga dipercepatkan hari bahagia tu ye.. ;)

Azwan Aziz said...

@cik ila: terima kasih atas doa tu... moga akan datang cepat la ye hehe